Kita mesti selalu dengar kata hikmah ini:
Kejarlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara:
~Masa muda sebelum datangnya masa tua~
~Masa sihat sebelum datangya masa sakit~
~Masa kaya sebelum datangya masa miskin~
~Masa lapang sebelum datangya masa sibuk~
~Masa hidup sebelum datangnya masa mati~
Sungguh tinggi dan bermakna kata-kata hikmah ini..bagi saya ia ibarat kata-kata keramat yang perlu difikirkan oleh semua dan pada masa yang sama mengambil pengajaran daripada kata keramat ini. Dalam hidup kita telah diberikan masa yang agak singkat untuk kita nikmati dunia yang agak sementara ini. Allah meminta kita supaya sering menggunakan masa dengan sebaiknya dengan melakukan apa-apa sahaja di dunia selagi mana ianya tidak bercanggah dengan kehendak agama serta norma-norma masyarakat. Dengan harapan, melalui masa hidup yang singkat ini, kita dapat menikmati sebuah kehidupan yang diberikan oleh Allah dengan sebaiknya.
Namun, berapa ramaikah antara kita yang menggunakan setiap masa yang kita lalui dengan sebaiknya? adakah benar kita telah menggunakan setiap masa itu dengan optimum serta penuh bermakna? mungkin ya..dan mungkin juga tidak bagi sebahagian daripada kita. Jika kita menggunakan masa dengan sebaiknya, maka untunglah kita. Jika kita gagal memanfaatnya, maka akan rugilah kita.
Untuk perkongsian, saya mempunyai impian serta harapan yang sangat tinggi dalam hidup saya. Kalau boleh, dalam tempoh-tempoh masa yang saya lalui, saya mengharapkan adanya kejayaan yang saya perolehi bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang lain. Sejak saya kecil, saya telah melalui proses kehidupan yang agak sukar sekali. Setiap yang berlaku di persekitaran saya, sedikit sebanyak telah mensosialisasikan latar belakang watak serta kehidupan saya sendiri. Saya mempunyai impian yang sangat tinggi untuk melihat kedua ibu bapa saya gembira disepanjang sisa-sisa kehidupan mereka. Semasa saya bakal menghadapi SPM, saya sering menangis apabila saya terlihat bapa saya. Betapa tingginya harapan dia kepada saya meski pun dia tak pernah berkata. Jika pun dia berkata "kejayaan kamu adalah untuk kamu dan kehidupan masa depan kamu. Bapa hanya dapat gembira dan mengharapkan anak-anak bapa mencapai hasrat serta impian mereka.Jangan jadi seperti bapa yang melalui kehidupan yang agak susah.Kamu berusahalah demi masa depan kamu serta adik-adikmu".Setiap kali saya gagal, dia tak pernah marah.cuma berkata "usaha saja lagi masih ada masa dan peluang". Kini, saya semakin dewasa..tangan yang kuat serta gagah bapa saya dulu kini semakin uzur. Ibu pula yang cantik dulu, kini semakin tua..mengenangkan mereka, saya selalu berdoa semoga Allah selalu memberi kekuatan kepada saya agar saya cepat bekerja serta mampu berkhidmat kepada ibu bapa saya. Mereka telah menjaga saya hampir 23 tahun..kini bapa saya berusia 56 tahun dan ibu saya berusia 50 tahun. Kalaulah masa hidup mereka hanya sehingga 65 tahun, bererti kini saya cuma memiliki masa 10 tahun-12 tahun untuk berkhidmat serta berbakti kepada mereka. Sungguh singkat masa itu jika dibandingkan masa mereka membesarkan saya. Namun begitu, aku berharap kepada Allah, memohon agar mereka akan dipanjagkan usia. Meski pun masa itu agak singkat, aku akan sedaya upaya untuk berkhidmat kepada mereka hingga ke titian akhir hayat mereka. dan aku mengharap, Allah sering memberi kekuatan untuk aku terus mengejar kejayaan meski pun ada yang menghalang. Ingin aku buktikan dalam hidup, bahawa aku dilahirkan didunia ini bukan sia-sia. Aku harap, sebelum hadirnya 5 perkara ini, aku cuba guna semua 5 masa itu dengan sebaiknya agar aku mampu mencapai segala impian dalam hidup.
Dan saya yakin, rakan-rakan juga mempunyai impian masing-masing yang mana masing-masing daripada kita mempunyai jalan serta cara yang berlainan namun masih mempunyai hala tuju yang sama. Gunakan setiap masa yang kita lalui dengan sebaiknya bagi mengatur segala perjalanan hidup kita. Gunakanlah masa sebaiknya agar kita tidak mensia-siakan kehidupan kita begitu sahaja. Buktikan bahawa, kita dilahirkan didunia ini, bukan sia-sia namun ada kelebihannya. Carilah masa dan peluang sebaiknya untuk menyingkap setiap titian hidup kita agar kita mampu menjadi manusia yang berguna kepada negara,agama dan bangsa.
Kejarlah sebanyak mungkin impian dan kejayaan dalam hidup tanpa mengetepikan tuntutan serta tanggungjawab kita kepada pencipta. Kerana setiap masa dan peluang yang diberikan kepada kita, cuma sementara dan kita mesti memanfaatkannya.
No comments:
Post a Comment