"Akan ku kuatkan diri meski ada yang menahan untuk mengejar impianku.Aku harap Allah akan sentiasa berada di sisiku agar aku mampu membuktikan bahawa aku dilahirkan di dunia ini tanpa sia-sia kepada ibu bapa, masyarakat, agama, negara dan bangsa"

Ya Allah sesungguhnya aku menadah tangan memohon keselamatan kepadaMu dalam agama, memohon kesejahteraan atau keseihatan jasmani, memohon tambahan ilmu pengetahuan, memohon rezeki yang halal dan diberkati, memohon diterima taubat sebelum tibanya waktu kematian, memohon mendapatkan rahmatMu"

Thursday, 11 August 2011

Perutusan Presiden

Assalammualaikum wbt, Salam Sejahtera, dan Salam 1 Malaysia, Salam 1 UMS Kampus Ceria

Segala puji dan salam saya rafakkan kepada Allah S.w.t, Tuhan sekalian alam yang maha agung lagi maha bijaksana mentadbir seluruh alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.a.w, keluarga baginda serta para sahabatnya sekalian.


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat illahi kerana dengan limpah kurnia serta keizinannya, maka saya diberi peluang untuk meneruskan lagi tanggungjawab serta amanah memimpin Persatuan Mahasiswa Pendidik (PERMADIK) sesi 2010/2011 yang saya kira begitu berat sekali tanggungjawabnya. Persatuan Mahasiswa Pendidik (PERMADIK) merupakan sebuah organisasi atau persatuan yang bertanggungjawab penuh dalam memimpin mahasiswa dan seterusnya menjadi perantara antara mahasiswa dan pihak pentadbir. Bukan itu sahaja, persatuan ini bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran aktiviti pelajar bagi mencapai hasrat meingkatkan kemahiran kendiri pelajar. Dengan slogan “Beraspirasikan Reformasi, Mahasiswa Berintegriti, Pendidikan Berkualiti” saya bersama-sama barisan kepimpinan akan berusaha sedaya upaya bagi mencapai visi dan misi persatuan, Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial seterusnya Universiti Malaysia Sabah.

Sejak mula menggalas jawatan sebagai Presiden persatuan, pelbagai cabaran telah diharungi bersama-sama dengan barisan kepimpinan. Meski pun demikian, saya melihat bahawa cabaran ini perlu diharungi dengan penuh kekuatan hati serta keazaman yang tinggi kerana kita harus sedar bahawa kita sebenarnya masih dalam proses pembelajaran yang memerlukan penelitian serta pengamatan yang tinggi bagi memastikan setiap perancangan dan matlamat asal dapat dicapai. Cabaran serta dugaan yang dihadapi membuatkan saya memikirkan hampir setiap masa apakah yang terbaik untuk mahasiswa dan persatuan.  Saya sedar bahawasanya  inilah cabaran yang sangat menguji kekuatan sebagai ketua organisasi. Namun demikian, saya yakin dan percaya bahawa barisan kepimpinan yang saya ada mampu memberi sokongan padu untuk kepentingan persatuan secara amnya dan kepada mahasiswa khususnya. Dengan harapan yang tinggi, saya mengajak seluruh barisan kepimpinan untuk terus berkerja kuat pada sesi ini bagi memastikan segala perancangan dan matlamat mampu dicapai dengan jayanya. Bekerjalah untuk kebaikan mahasiswa kerana nilai amanah ini perlu dijalankan dengan sebaik mungkin supaya kita mampu meneruskan delegasi kepimpinan terdahulu yang telah mencapai kejayaan dalam setiap era kepimpinan mereka.

Kepada seluruh warga sahabat mahasiswa Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial, saya mengharapkan adanya sokongan yang tidak berbelah bagi daripada anda. Bersama kita berada pada barisan yang kukuh dibawah naungan persatuan ini demi memperjuangkan visi dan misi Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial serta Universiti Malaysia Sabah yang kita cintai. Selaku presiden persatuan, saya mengajak seluruh warga Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial supaya sentiasa aktif dalam aktiviti kemahasiswaan kerana saya yakin setiap yang anda sertai ia tidak akan merugikan diri malah suatu kelebihan kepada anda bagi menambah pengetahuan dan pengalaman.

Suka saya berkongsi akan suatu kronolgi cerita.
“Universiti ibaratkan sebuah kilang yang memproses bahan mentah (besi) . Mahasiswa pula adalah bahan mentah (besi) itu yang mana kilang (universiti) bertanggungjawab penuh dalam mengeluarkan produk yang bermutu tinggi serta menepati kehendak pasaran. Oleh kerana tanggungjawab ini, maka kilang (universiti) akan sedaya upaya untuk melengkapkan bahan mentah ini supaya menjadi produk yang menepati kehendak pasaran. Maka besi ini pun dilengkapilah dengan pelbagai teknologi serta kemudahan serba boleh seperti melalui aktiviti kemahasiswaan (apa jua aktiviti) yang mampu menjadikan mahasiswa sebagai perancang, pelaksana, pengurus, penghubung, jurucakap, perunding dan lain-lain lagi kemahiran. Dengan adanya usaha ini, maka kilang (universiti) meletakkan harapan yang tinggi agar produk (mahasiswa) ini mampu bersaing serta menepati kehendak pasaran. Bagi produk yang bermutu tinggi, maka pasaran (majikan) akan berebut-rebut untuk mendapatkan produk tersebut kerana ia semestinya menepati kehendak mereka. Namun bagaimana pula dengan produk yang tidak bermutu?dalam realiti sebenar, produk yang tidak bermutu dan tidak menepati kehendak mereka, akan diketepikan terlebih dahulu dan hanya akan diperlukan apabila produk lain telah habis”

Apa yang saya cuba sampaikan dalam cerita ini ialah, saya mempunyai pandangan bahawa tidak ada institusi atau pusat latihan yang menjanjikan pekerjaan melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tersebut iaitu dengan cara menunjukkan kemahiran dan kebolehan yang kita miliki sehinggakan majikan yakin dan percaya akan kekuatan yang kita miliki. Di pusat gedung ilmu ini, kita diberi segalanya untuk kita mengali sebanyak mungkin ilmu sama ada ilmu dalam kelas atau luar kelas. Bergantung kepada kita sama ada ingin mendapatkannya atau membiarkan orang lain yang mendapatkannya. Kita di universiti ini cuma empat tahun sahaja dan dalam tempoh pendek inilah maka kita harus menggunakannya untuk melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Maka oleh itu, saya menyeru kepada seluruh sahabat-sahabat sekalian untuk terus mencari peluang untuk meningkatkan prestasi diri sama ada dalam bidang akademik atau bukan akademik. Kita tidak boleh terlepas salah satu daripadanya. Bila kita berjaya dalam aktiviti kemahasiswaan maka kita juga mesti berjaya dalam akademik kerana jika salah satu tertinggal maka kita akan mengalami kerugian di antara keduanya.


Kepada mahasiswa/i baru, saya mengucapkan selamat datang ke Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial, UMS. Selamat mengharungi kehidupan dan pembelajaran kampus. Saya berharap anda telah cukup bersedia untuk bergelar sebagai mahasiswa dan gunakan peluang yang ada ini untuk terus mengejar impian yang telah terpahat sekian lama. Berusahalah bersungguh-sungguh dan galilah sebanyak mungkin ilmu di kampus ini kerana di pusat pengajian tinggi ini, ia ibarat "gedung ilmu" atau "jelapang ilmu" yang perlu kita terokai bersama demi mencapai matlamat asal kita menuntut ilmu di universiti ini. Dengan harapan, bersamalah kita meningkatkan prestij Universiti Malaysia Sabah khususnya Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial. 


Jaga diri, hiasi peribadi..semoga kita dirahmati Allah S.W.T sepanjang menuntut ilmu di kampus ini.


Sekian dan Terima Kasih


Mohamad Suhaimey Bin Razin
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Pendidik (PERMADIK) Sesi 2010/2011
Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial
Universiti Malaysia Sabah.

No comments:

Post a Comment