Assalammualaikum wbt, Salam Sejahtera, dan Salam 1 Malaysia :UMS kampus Ceria
Segala pujian bagi Allah S.w.t, Tuhan sekalian alam yang maha agung lagi maha bijaksana mentadbir seluruh alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.a.w, keluarga baginda serta para sahabatnya sekalian.
Bersempena dengan Majlis Amanat Dekan ini, saya menyeru kepada seluruh sahabat mahasiswa agar memberi tumpuan terhadap perkara yang bakal disampaikan oleh yang berbahagia Dekan. Selaku presiden persatuan, saya mengharapkan adanya sokongan yang tidak berbelah bagi daripada anda. Saya ingin mengajak seluruh warga mahasiswa Sekolah Pendidikan Dan Pembangunan Sosial supaya sentiasa aktif dalam aktiviti kemahasiswaan kerana saya yakin setiap yang anda sertai ini, ia tidak akan merugikan diri malah suatu nilai tambah kepada anda bagi menambah pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengurusan serta pengorganisasian.
Pada masa ini, kerjaya kita sebagai guru tidak lagi seperti dulu yang mana sejurus kita tamat pengajian, kita akan terus diserap ke jawatan sebagai pendidik. Dunia pada hari ini penuh dengan cabaran serta persaingan yang sengit lebih-lebih lagi dalam mendapatkan peluang pekerjaan. Meski pun kita akui bahawa, berbanding kursus-kursus yang lain kita mempunyai peluang kerjaya yang sedikit mudah untuk diperolehi, namun kita jangan leka kerana dengan senario pada masa ini, kita juga akan menghadapi proses-proses pemilihan yang semakin rumit sebelum mendapat pekerjaan. Hal ini kerana kewujudan IPTA dan IPTS yang menawarkan kursus pendidikan serta ditambah lagi dengan dasar-dasar politik negara terhadap pengurusan pendidikan, menjadikan senario pengurusan pendidikan semakin kompleks.
Meski pun demikian, saya yakin dan percaya bahawa kita mampu bersaing dengan siswazah keluaran institusi lain kerana kita juga berpotensi untuk menjadi lebih baik jika kita inginkannya. Saya mempunyai pandangan bahawa tidak ada institusi atau pusat latihan yang menjanjikan pekerjaan melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tersebut iaitu dengan cara menunjukkan kemahiran serta kebolehan yang kita ada sehinggakan majikan yakin dan percaya akan kekuatan yang kita miliki. Di pusat gedung ilmu ini, kita diberi segalanya untuk kita menggali sebanyak mungkin ilmu sama ada ilmu dalam kelas atau luar kelas. Bergantung kepada kita sama ada ingin mendapatkannya atau membiarkan orang lain yang mendapatkannya. Kita di universiti ini cuma empat tahun sahaja dan dalam tempoh pendek inilah maka kita harus menggunakannya untuk melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Maka oleh itu, saya menyeru sekali lagi kepada seluruh sahabat-sahabat sekalian untuk terus mencari peluang untuk meningkatkan prestasi diri sama ada dalam bidang akademik atau bukan akademik. Kita tidak boleh terlepas salah satu daripadanya. Bila kita berjaya dalam aktiviti kemahasiswaan maka kita juga mesti berjaya dalam akademik kerana jika salah satu tertinggal maka kita akan mengalami kerugian di antara keduanya.
Akhir kata daripada saya, semoga majlis ini berjalan dengan lancar dan kita mendapat manfaat bersama.Sekalung tahniah kepada ajk yang terlibat dalam perlaksanaan majlis ini. SEKIAN